
PROGRAM PEMBANGUNAN SAHSIAH MADANI @ JERANTUT PAHANG BERI IMPAK KEPADA KOMUNITI
Selaras dengan penubuhan UMK sebagai sebuah Universiti Keusahawanan dan pewujudan universiti bagi pembangunan dan memberi impak kepada masyarakat dan komuniti, satu program Pembangunan Sahsiah MADANI @ Jerantut telah diadakan di Daerah Jerantut, Pahang pada 9 dan 10 April 2025 baru-baru ini.
Program yang memberikan fokus kepada penyatuan ilmu, kepimpinan dan komuniti di bawah payung nilai-nilai MADANI selaras dengan salah satu fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pemindahan dan Perkongsian Ilmu telah dianjurkan di tiga (3) lokasi utama iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut (SMKJ), Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKA TAHAP) dan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut yang melibatkan penyertaan seramai 1500 peserta termasuk pelajar, guru, ibu bapa, dan komuniti setempat.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut, Guru-guru, pelajar dan PIBG SMK Jerantut dan SMKA TAHAP serta Pengurusan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut.
Antara pengisian aktiviti utama sepanjang program tersebut berlangsung adalah Program Kepimpinan Sahsiah Madani & Program Kepemimpinan Madani, Bengkel Wakaf Ilmu @STEM, Program Mentor Bahasa Arab, Pameran Akademik, Asasi UMK & Kerjaya dan Forum Perdana.

