Pengenalan

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

BAHAGIAN PENGURUSAN DAN KECEMERLANGAN BAKAT, PEJABAT PENDAFTAR

 

Selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi Lonjakan ke-2 iaitu Kecemerlangan Bakat maka Pengurusan Bakat berasaskan kompetensi khususnya di Universiti Awam merupakan keutamaan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha mentransformasikan pengurusan sumber manusia melalui elemen kompetensi. Berasaskan kepada agenda ini juga, pihak Kementerian menerusi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah merencanakan pendekatan secara kolaboratif bersama dengan Universiti-Universiti Awam untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat demi kelangsungan pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi khususnya kepada pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi negara.

 

Justeru, Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (Competency Based Talent Management (CBTM) telah dibangunkan sebagai platform bagi membantu Universiti –Universiti awam dalam membangun dan merekabentuk satu kerangka penilaian yang bersesuaian berdasarkan acuan (niche) Universiti masing-masing dalam memacu kepada budaya kerja organisasi yang terbaik dan cemerlang. Dalam konteks ini UMK tidak terkecuali dimana penilaian secara kompetensi berdasarkan elemen CBTM ini perlu dibangunkan secara komprehensif.

 

Proses pemerkasaan bakat staf UMK dengan berteraskan Model kompetensi (Competency Based Talent Management-CBTM) telah dimulakan pada tahun 2019 iaitu menerusi penubuhan Bahagian Pengurusan dan Kecemerlangan Bakat di bawah Pejabat Pendaftar UMK dan proses mentransformasikan pengurusan sumber manusia UMK secara keseluruhannya menerusi pelaksanaan kaedah penilaian berasaskan Model ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Pengurusan Sumber Manusia (MPSM) Bilangan 1/2020 (Kali ke-38). Pelaksanaan pembangunan kompetensi di UMK banyak mendapat sokongan dari pihak Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) KPT bukan hanya dalam konteks dana bahkan juga sokongan dan penyaluran ilmu CBTM itu sendiri.